KOTA KINABALU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyatakan hanya mahu menggunakan logo sendiri atau logo Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, ia termasuk tidak akan menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Keputusan ini jelas dan sudah pernah dilaksanakan pada PRN terdahulu. Kita berpendapat hanya logo PKR atau PH yang akan digunakan.
“Walaupun kita bekerjasama dengan mereka nanti namun PKR Sabah tiada kena-mengena dengan keputusan GRS untuk menggunakan hanya satu lambang,”katanya pada sidang media PKR Sabah hari ini.
Sementara itu, Razeef yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat, mengulangi pendirian PKR mengenai kedudukan parti itu sebagai sebuah parti nasional yang ditubuhkan serentak di seluruh negara pada 4 April 1999.