PETALING JAYA – Parti politik tanah air, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bakal menyambut ulang tahun kelapan esok komited dalam meneruskan peranannya untuk menjadi suara kepada perjuangan rakyat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, parti yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dibina atas landasan perjuangan politik dan pentadbiran yang bersih, berintegriti serta menjaga kebajikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Menurutnya, walaupun dalam usia semuda itu, Bersatu telah berjaya menonjolkan barisan kepimpinan yang mempunyai nilai kematangan serta rekod perkhidmatan yang baik.
“Banyak kejayaan telah tercatat dalam sejarah politik Malaysia hasil perjuangan parti ini, khususnya ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah negara.
“Bersatu adalah perjuangan rakyat. Bermula dengan 13 Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2018, Bersatu memenangi 31 kerusi Parlimen dan 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15,”katanya hari ini.
Hamzah berkata, bahtera Bersatu sedang belayar menuju kejayaan menjadi wadah politik orang Melayu, kaum pribumi dan seluruh rakyat Malaysia dengan berteraskan lima prinsip inklusif, sederhana, demokratik, integriti dan prihatin.
Katanya, parti itu tidak akan terpesong haluan, dirampas atau ditenggelamkan meskipun berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran.
“Bersatu akan berjuang untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang dihormati berpandukan Perlembagaan Persekutuan yang adil dan saksama.
“Bersatu akan terus mara dan menongkah arus demi agama, bangsa dan negara. Selamat Menyambut Ulang Tahun Bersatu,”jelasnya. – https://amiminerals.org/