Airbus A330neo
KUALA LUMPUR, 6 Sept (Iteenews) –Malaysia Airlines menjangkakan penghantaran lima pesawat Airbus A330neo menjelang suku pertama 2025, selepas ketibaan A330neo pertamanya bulan depan, kata Pengarah Urusan kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Datuk Kapten Izham Ismail.
Beliau berkata dengan pesawat baharu itu kumpulan akan menggunakan pesawat A350 ke Paris, selain laluan utama semasa, iaitu ke London dan Doha.
“Perluasan (laluan) ke Paris tahun depan menandakan permulaan lembaran baharu yang menjanjikan, dipenuhi dengan potensi dan peluang,” katanya pada sidang media di Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia 2024 (MATTA Fair 2024) di sini hari ini.
Izham berkata walaupun Malaysia Airlines menghadapi beberapa rintangan,syarikat penerbangan itu sentiasadalam keadaan berwaspada.
“Kami tetap komited sepenuhnya untuk mendapatkan semula keyakinan pelanggan kami dan memberikan pengalaman luar biasayang sewajarnya mereka terima.Transformasi sesebuah organisasi tidak datang sekelip mata, pastinya ia akan menempuh pelbagai cabaran.
“Kita tidak sepatutnya berselindung di sebalik tirai dan inilah yang dilakukan MAG.Cita-cita kami adalah untuk menjadi syarikat penerbangan yang hebat menjelang 2025,” katanya.
Sementara itu, Izham berkata keputusan MAG baru-baru ini untuk mengurangkan kapasiti sebanyak 20 peratus bagi memastikan kemampanan dan kebolehpercayaan operasi adalah perlu sejajar dengan wawasan jangka panjangnya dan mengemudi cabaran jangka pendek yang dihadapi.
“Malaysia Airlines ialah syarikat penerbangan yang selamat. Itulah sebabnya kami melakukan ini (untuk merasionalkan rangkaian),” katanya.
Izham menjelaskan bahawa terdapat banyak isu (untuk ditangani) selain tenaga kerja dan sumber seperti enjin, rantaian bekalan, kapal terbang yang semakin uzur dan kelewatan penghantaran pesawat baharu.