PETALING JAYA – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyantuni 3,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena Minggu Bersama Pencarum: Jelajah Selatan 2024 (MBP 2024).
MBP 2024 yang telah melabuhkan tirai hari ini dihadiri oleh pengunjung dalam kalangan anggota ATM dari tiga kem tentera di selatan Malaysia, iaitu Kem Syed Sirajuddin Gemas, Negeri Sembilan, Kem Terendak, Melaka dan Kem Mahkota Kluang, Johor.
LTAT dalam satu kenyataan berkata, program MBP 2024 terus menjadi landasan utama pihaknya untuk menyantuni dan meningkatkan keterlibatan bersama warga ATM.
“Program selama tiga hari itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan platform bual bicara yang memberi penekanan kepada faedah-faedah yang disediakan oleh LTAT kepada pencarum.
“Selain itu, turut diberikan pendedahan berhubung pengurusan kewangan yang mampan serta peluncuran Laporan Pencarum LTAT 2023,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Laporan Pencarum 2023 yang pertama kali diterbitkan pada tahun ini juga memperlihatkan komitmen LTAT dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan sosio-ekonomi warga ATM.
Menurut LTAT, laporan itu juga mempunyai peranan dalam menyokong pembangunan ekonomi Malaysia, selaras dengan inisiatif Ekonomi MADANI yang diperkenalkan oleh kerajaan.
“Program ini turut mengetengahkan kepentingan literasi kewangan dalam kalangan warga ATM, bagi memberi kesedaran dan membantu warga tentera untuk menguruskan kewangan mereka dengan bijak, lantas memperkukuhkan perlindungan sosial mereka selepas persaraan,” jelas LTAT.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan beliau akan terus mendukung usaha LTAT dalam memastikan simpanan persaraan anggota ATM terus berkembang demi kehidupan persaraan yang selesa dan terjamin. – https://amiminerals.org/