JAKARTA – Ketua ajaran Katholik, Pope Francis memberi amaran jangan menggunakan agama untuk mencetuskan konflik, dalam deklarasi yang dimeterai bersama oleh beliau dan imam besar Indonesia di sini.
Pemeteraian di Masjid Istiqlal itu adalah antara acara utama sempena lawatan tiga hari pemimpin Katholik berusia 87 tahun itu ke Indonesia sebagai sebahagian daripada siri kunjungan beliau ke rantau Asia-Pasifik.
“Kita semua adalah bersaudara, semua peziarah, semua dalam perjalanan kita kepada Tuhan, melebihi apa yang membezakan kita,” katanya dalam ucapan di Masjid Istiqlal hari ini.
Memberi amaran untuk tidak menggunakan agama sebagai senjata dalam mencetuskan konflik, beliau menyatakan bahawa krisis alam sekitar menjadi ancaman kepada tamadun manusia.
Pada majlis tersebut, Pope Francis turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin enam agama rasmi Indonesia.
“Kami memikul tanggungjawab untuk menangani krisis serius yang mengancam masa depan manusia seperti peperangan dan konflik juga krisis alam sekitar yang menjadi penghalang kepada pertumbuhan dan kewujudan bersama umat manusia,” katanya .
Ketika berada di masjid berkenaan, Pope Francis dan Imam Besar Nasaruddin Umar mendengar bacaan ayat suci al-Quran yang dibacakan oleh seorang gadis cacat penglihatan serta petikan kitab Injil.
Masjid Istiqlal terletak berdekatan gereja Katedral Jakarta dan dihubungkan oleh ‘terowong persahabatan’ sebagai simbol persaudaraan agama.
Acara terbesar semasa di Indonesia berlangsung petang ini apabila beliau dijadualkan menyampaikan khutbah kepada hampir 80,000 penganut Katholik di stadium bola sepak utama di sini dengan puluhan ribu lagi dijangka berhimpun di luar stadium.
Penganut Katholik mewakili kurang tiga peratus penduduk Indonesia atau kira-kira lapan juta orang, berbanding 87 peratus atau 242 juta umat Islam.
Kristian Katholik adalah salah satu daripada enam agama atau denominasi yang diiktiraf secara rasmi di Indonesia di samping Protestan, Buddha, Hindu dan Konfusianisme. – AFP