Rasa kebas seluruh badan sebelum…

lead 3

Linda membantu Rosmawati minum susu ketika ditemui dirumahnya di Kampung Bukit Sireh, Kuala Krai baru-baru ini.

KUALA KRAI – Kehidupan seorang wanita berubah apabila kini dia terlantar di atas katil akibat lumpuh sebelah badan ekoran penyakit darah tinggi yang dihadapinya.

Rosmawati Romli, 47, kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan ibu tirinya, Linda Abdullah, 36, untuk menukar lampin pakai buang dan minum susu melalui tiub di hidung.

Menurut Linda, anak tirinya sebelum ini tinggal di Gua Musang datang ke Kuala Krai pada Mei lalu untuk bekerja dengannya menguruskan kedai makan.

Katanya, detik hitam anak tirinya itu bermula awal Julai lalu apabila dia mengadu kebas seluruh badan sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat darah beku di dalam kepala Rosmawati sehingga membawa kepada serangan angin ahmar.

“Disebabkan itu, dia lumpuh sebelah kanan badan kesan komplikasi penyakit darah tinggi yang dihadapinya,” katanya.

Linda memberitahu, dia kini menguruskan segala keperluan Rosmawati termasuk mandi, mengajar senaman ringan dan memberi susu.

“Saya dan suami, Ramli Jusuf, 72, tidak pernah meninggalkan Rosmawati bersendirian dan sentiasa memberinya kata-kata semangat untuk melawan ­penyakit yang dihadapinya.

“Dia kini tidak boleh bercakap, selain ingatannya semakin lemah sehingga ada kalanya lupa akan keluarganya sendiri,” katanya.

Tambahnya, walaupun kea­daan Rosmawati sedemikian, dia tidak pernah merasa terbeban kerana menganggapnya seperti anak kandung.

“Sebulan, hampir RM2,000 perlu dibelanjakan untuk membeli keperluan Rosmawati termasuk susu formula khas berharga RM67 satu tin yang hanya mampu bertahan dua hari, selain kos ambulans setiap kali menghadiri janji temu di klinik dan hospital.

“Saya juga terpaksa meng­gunakan wang hasil jualan di kedai makan, walaupun untung yang diperoleh tidak seberapa,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Linda di talian 017-5668568.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *