SANAA – Sekurang-kurangnya 95 orang terbunuh manakala 34 lagi cedera akibat hujan lebat dan banjir di wilayah Al-Hudaydah, barat laut Yemen sejak bulan lalu, lapor agensi berita Anadolu.
Jawatankuasa Kecemasan yang dikendalikan Houthi berkata, angka kematian meningkat apabila bencana hujan lebat di wilayah itu meragut 11 nyawa pada tiga hari lalu.
Menurut angka Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), banjir kilat yang dicetuskan oleh hujan lebat telah mengorbankan puluhan orang dan menyebabkan lebih 250,000 orang kehilangan tempat tinggal di negara tersebut sejak Julai lalu.
Konflik selama sedekad antara kerajaan Yemen dan kumpulan Houthi yang disokong Iran, telah merosakkan infrastruktur dan kemudahan kesihatan negara itu.
Pada masa sama, ia juga menyebabkan situasi kemanusiaan yang teruk. – AGENSI.