GUA MUSANG – Seorang gadis yang terselamat daripada ajal selepas dihempap kayu balak kira-kira dua bulan lalu terpaksa tidur ditemani ibunya kerana sering bermimpi lori balak sehingga membuatkan dia terkejut dan tidak lena tidur hampir setiap malam.
Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, berkata, meskipun semakin pulih, dia masih trauma dengan bunyi kuat dan lori balak sehingga terbawa-bawa ke dalam tidur.
“Saya kini terpaksa tinggal di rumah kakak, Roslinda Jusoh, 40, buat sementara waktu yang jauh dari jalan utama kerana trauma dengan bunyi bising.
“Mimpi saya bukan peristiwa kemalangan pada hari kejadian, tetapi selalunya yang berkait dengan lori balak sehingga membuatkan saya terkejut dan tersedar.
“Saya juga tidak boleh mendengar bunyi kuat seperti tayar pecah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah kakaknya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3 di sini hari ini.
Siti Norelyana memberitahu, sejak keluar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, dia tinggal bersama kakak dan perlu tidur bersama ibu, Miss Kalsom Domea, 59.
Katanya, dia bersyukur kerana sudah boleh berjalan seperti biasa malah tiada sebarang kesan calar-balar di tubuh akibat dihempap balak.
“Selain menangguhkan perkahwinan, saya akan kembali bekerja sebagai jurujual selepas betul-betul pulih. Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi sumbangan sepanjang saya menerima rawatan,” katanya.
Sementara itu, Miss Kalsom, berkata dia bersyukur kerana akhirnya anak keenam daripada tujuh beradik itu akhirnya pulih sepenuhnya.
Katanya, dia bersama ahli keluarga lain memberi sokongan kepada Siti Norelyana agar dia dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang gadis yang parah akibat dihempap kayu balak di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, di sini pada 9 Julai lalu semakin pulih selepas hampir sebulan bertarung nyawa di hospital.
Siti Norelyana dibenarkan keluar dari HRPZ II pada 7 Ogos lalu selepas ditidurkan beberapa kali semasa menjalani rawatan.
Jurujual itu ketika ini sudah boleh menjalani kehidupan seperti biasa meskipun beberapa organ dalaman seperti hati, paru-paru dan buah pinggang hampir rosak termasuk patah pada lima batang tulang rusuk dan belakang. – https://amiminerals.org/