Perhilitan pantau ketat buaya Tasik Seksyen 7

penguat kuasa buaya tasik shah alam

Azhar (kanan)memantau penguat kuasa memasang pita keselamatan di tepi Tasik Seksyen 7, hari ini.

SHAH ALAM – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) masih menjalankan siasatan terperinci termasuk mengenal pasti saiz sebenar buaya yang muncul di Tasik Shah Alam, Seksyen 7 di sini.

Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, ketika ini pihaknya sedang memantau rapi lokasi itu secara berkala bagi mengesan reptilia tersebut.

Menurutnya, operasi tangkapan pemindahan akan dilakukan bergantung kepada penilaian dan keadaan semasa di lokasi berkenaan.

“Kami setakat ini belum memasang jerat atau perangkap dan ia akan dibuat jika berlaku ancaman oleh buaya itu.

“Namun, kami akan memfokuskan operasi pemindahan dan satu papan tanda amaran akan diletakkkan di tasik tersebut petang ini,”katanya kepada pemberita hari ini.

Jelas beliau, perbincangan dijalankan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam bagi mengenalpasti tindakan yang perlu dijalankan bagi menjamin keselamatan awam.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan pengunjung sekitar Tasik Shah Alam, Seksyen 7 di sini diingatkan supaya tidak mendekati kawasan tebing tasik susulan seekor buaya di lokaliti tersebut.

Buaya tersebut dianggarkan sepanjang satu meter yang berkemungkinan sesat semasa hujan lebat dan banjir kilat baru-baru ini. -KOSMO!ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *