SHAH ALAM – Kerajaan Selangor dan Kedah memeterai kerjasama dalam perkongsian kepakaran, teknologi dan pengalaman dalam pembangunan infrastruktur utiliti masing-masing.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, setiap negeri berdepan dengan isu sama iaitu pengurusan utiliti dan akhirnya berdepan kos pembangunan yang besar.
Katanya, Selangor sendiri mengalami peningkatan pembangunan infrastruktur sehingga 10 kali ganda sekaligus memberikan pengalaman pengurusan utiliti.
“Jadi, kalau kita ada kos utiliti yang ada selenggara dan pengurusannya, ia akan jadi nilai tambah. Kalau tidak, beban kepada pengurusan utiliti itu ditanggung balik oleh negeri dan ia adalah satu caj yang saya rasa berpada dan berpatutan.
“Sebab itu, nilai tambah dalam pengurusan utiliti adalah agar kita bergantung kepada hasil tanah. Ini kerana setiap kemajuan tanah akan memberikan hasil namun kos berlepas sekali sahaja dan selepas itu kena tunggu 99 tahun dapatkan tanah itu balik,”katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) Pengarah Koridor Utiliti Selangor (Kusel), Khairul Azmi Misran dan Ketua Pegawai Eksekutif Utiliti Infra Darulaman (UiDA), Ir. Ahmad Taufik Radzi.
Amirudin menambah, perkongsian tersebut juga bersifat dua hala memandangkan Kedah banyak kawasan pertanian berbanding di Selangor hanya melibatkan bahagian di utaranya.
Justeru, beliau menegaskan kerjasama bersejarah ini membuktikan kedua-dua negeri mampu bergerak matang tanpa menjadikan perbezaan politik sebagai alasan demi kepentingan rakyat.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan kerjasama itu penting untuk pembangunan infrastruktur di Kedah selain menjimatkan kos pembinaan serta memastikan projek-projek sedemikian siap mengikut waktu ditetapkan.
Ujarnya, berdasarkan pengalaman Kedah adalah semasa pemetaan iaitu perbezaan sebenar antara pelan lukisan dan tapak di lokasi dalam isu rizab jalan raya dan jajaran paip contohnya.
“Apabila pergi tapak, kerja tertangguh sebab rizab jalan sudah ada kerana berada dalam kawasan sungai. Saya alami baru-baru ini semasa tebatan banjir, jalan, jajaran paip dan bekalan air.
“Sebab itu, saya datang belajar di negeri paling ‘tough’. Kita belajar sekarang ni adalah Matematik Tambahan. Kalau Sejarah dan Geografi boleh baca namun ini Matematik Tambahan kena jumpa cikgulah,”katanya. -https://amiminerals.org/.