NEW DELHI – Selain berdepan masalah banjir akibat air sungai melimpah, penduduk bandar Vadodara di India perlu berwaspada terhadap ancaman buaya gergasi, lapor portal berita Oddity Central semalam.
Buaya-buaya itu menunggu untuk membaham haiwan milik mereka atau menjadikan sebahagian penduduk sebagai sasaran serangan.
Satu rakaman video menunjukkan beberapa ekor reptilia gergasi itu berjalan di atas jalan.
Sebilangan buaya itu memanaskan badan di atas bumbung rumah atau berenang di terusan dengan bangkai haiwan mati berada di celah-celah giginya.
Rakaman video itu menjadi tular di media sosial India sejak Sungai Vishwamitri melimpah pada minggu lalu.
Sungai itu adalah habitat kepada ratusan buaya air tawar, sekurang-kurangnya 24 ekor buaya berkenaan ditangkap di Vadodara antara 27 hingga 29 Ogos lalu.
“Buaya terkecil yang kami selamatkan memiliki panjang kurang 1 meter, manakala yang terbesar sepanjang lebih 3 meter, kata seorang pegawai perhutanan, Karansinh Rajput.
“Penduduk tempatan memaklumkan kami tentang buaya besar ini,” tambahnya. – AGENSI