ALOR SETAR – ‘Saya hampir ditangkap tetapi Alhamdulillah saya berjaya menangkap orang yang nak menangkap saya’
Demikian kiasan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika menyentuh tentang perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak State Government (SG4) di Bandar Baru Bangi, Selangor hari ini.
Ucapan pada persidangan itu disiarkan secara langsung di media sosial.
Beliau kemudian bertanyakan kepada hadirin sama ada memahami kenyataannya itu sebelum tertawa.
Ketika ini, terdapat khabar angin di media sosial mengatakan Muhammad Sanusi berkahwin seorang lagi yang dikatakan seorang pegawai polis terlibat siasatan REE sebelum ini.
Turut tersebar gambar seorang wanita yang didakwa isteri kedua Muhammad Sanusi.
Muhammad Sanusi dalam ucapan sama berharap agar SG4 itu memberi manfaat kepada negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Kedah kita bersedia kongsi pengalaman kita dalam sektor industri, pertanian serta galian dan mineral kerana paling popular dalam sektor REE adalah Kedah.
“Walaupun deposit tak banyak macam Terengganu dan Kelantan tetapi kerana kita cakap dulu, kita yang kena. Depa ni kaut untung sahaja, aku yang teruk,”katanya.
Sementara itu, katanya, kerajaan negeri juga sudah hampir untuk menoktahkan sektor pembalakan sebagai usaha pemuliharaan alam sekitar.
“Apa yang sedang berlaku ketika ini adalah menghabiskan kelulusan-kelulusan lama yang akan mengambil masa sekitar 18 tahun untuk dihabiskan.
“Kita sebenarnya tidak ada kawasan dah nak lulus, jadi pembalakan bukan lagi keutamaan untuk dapatkan hasil. Jadi terpaksa meneroka sektor lain untuk menggantikan kehilangan hasil ekoran menoktahkan sektor pembalakan,”tambahnya. – https://amiminerals.org/