Pesawat berpatah balik, MAS sahkan alami masalah sistem hidraulik

MAS

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan pesawat MH66 jenis Airbus 330-300 yang menuju ke Incheon, Korea Selatan terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ekoran berdepan isu sistem hidraulik.

MAS dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun, pesawat itu telah selamat mendarat pada pukul 1.30 pagi waktu tempatan selepas membuat keputusan berpatah balik.

“Semua penumpang telah ditempatkan di hotel sementara penerbangan itu dijadualkan semula sebagai MH66D dan dijadualkan berlepas pada pukul 8 malam ini.

“Pesawat daripada Seoul turut dijadualkan semula sebagai MH67D dan dijangka berlepas pada pukul 5.10 pagi waktu tempatan pada 3 September,” katanya, tadi.

MAS berkata, pada masa sama, tahap keselamatan dan keselesaan penumpang serta anak kapal tetap menjadi keutamaan mereka.

Terdahulu, berdasarkan maklumat dipaparkan menerusi aplikasi Flightradar24, pesawat itu dilaporkan berlepas dari KLIA pada pukul 12.01 malam sebelum berpatah balik ke Kuala Lumpur selepaa dua jam berada di udara.

Untuk rekod, penerbangan Malaysia Airlines MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan ke Alice Springs akibat masalah enjin di udara.

Tiga penerbangan Malaysia Airlines sebelum ini juga membuat pendaratan kecemasan.

Pada 4 Ogos, sebuah penerbangan Malaysia Airlines yang membawa 259 jemaah umrah menuju ke Jeddah berpatah balik ke KLIA disebabkan masalah teknikal sejurus selepas berlepas. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *