JAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan di wilayah Banten menjadi perhatian pengguna media sosial selepas pengantin perempuan menerima mas kahwin berupa sebidang tanah dan aset lain yang berharga, lapor saluran berita Tribunnews semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @iisyunerli08, pasangan itu mengenakan pakaian adat minang berwarna biru dan duduk berhadapan dengan wali.
Pengantin lelaki dilihat melafazkan akad sambil memegang erat tangan wali tersebut.
“Saya terima nikahnya Syifa binti Zainudin dengan mas kahwin 1 bilion rupiah (RM280,000), 1 hektar ladang kelapa sawit, 1 hektar ladang cengkih dan 60 bilik sewa, tunai,” kata pengantin lelaki.
Tetamu kemudian bersorak selepas akad nikah itu berjaya dilafazkan.
Rakaman itu menjadi tular dan meraih lebih 7.3 juta tontonan. Rata-rata netizen terpegun dengan kemewahan mereka.
“Saya juga mahu mas kahwin seperti dia!” kata seorang netizen.
“Tuhan tolong kirimkan saya suami seperti ini,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI