ASHGABAT – Sebuah kawah berapi popular digelar ‘Pintu Neraka’ di Turkmenistan, tidak lagi mengerikan seperti kebiasaan apabila apinya mula pudar dan padam, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kawah gas Darvaza itu terletak di Gurun Karakum dan memuntahkan ‘nafas syaitan’ atau api tanpa henti selama beberapa dekad.
Bagaimanapun, kawah berapi yang menjadi tarikan pelancong itu mengejutkan orang ramai apabila ia tidak lagi membara dan dijangka tidak bertahan lama.
Saluran berita CNN melaporkan, kerajaan Turkmenistan sering membangkitkan kemungkinan menutup relau yang menyala itu.
Pelancong ke Darvaza juga melaporkan api dengan suhu 1,000 darjah Celsius semakin kecil berbanding dahulu.
Seorang perintis pelancongan ke Turkmenistan yang berpangkalan di Britain, Dylan Lupin berkata: “Saya boleh mengatakan ia hanya terbakar pada kira-kira 40 peratus daripada tahap yang pertama kali saya saksikan di sana pada 2009.”
Kawah berapi adalah medan gas asli yang telah terbakar secara berterusan selama lebih setengah abad.
Ia terletak kira-kira 260 kilometer di utara ibu negara, Ashgabat dan merupakan salah satu tapak paling luar biasa dan ngeri di planet ini.
Difahamkan, kawah ‘Gates of Hell’ tersebut dicipta semasa operasi penggerudian era Soviet pada tahun 1971. – AGENSI