Tentera Ukraine tersilap perhitungan

000 36CD3KZ

Askar Ukraine menembak artileri ke arah kedudukan tentera Russia di Pokrovsk pada 8 Ogos lalu. – AFP

KYIV – Tentera Russia membuat kemaraan besar dalam beberapa hari kebelakangan ini sekali gus memberi ancaman kepada askar Ukraine yang melakukan serangan rentas sempadan besar-besaran di wilayah Kursk.

Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, tentera Moscow kini berada hanya beberapa kilometer dari bandar Pokrovsk. Ia merupakan hab logistik penting yang digunakan oleh tentera Ukraine.

Menempatkan sebuah stesen kereta api utama dan jalan-jalan utama, Pokrovsk ialah lokasi bekalan dan pengukuhan penting untuk tentera Ukraine di barisan hadapan zon timur.

Pengkritik di Kyiv bimbang bahawa tentera negara itu telah tersalah membuat perhitungan yang serius dalam peperangannya dengan Russia.

Dengan menghantar askar-askar ke Kursk dan bukannya mengukuhkan barisan hadapan di timur, pengkritik berkata, Ukraine membiarkan Pokrovsk dan bandar-bandar penting lain terdedah kepada ancaman Russia.

Semasa lawatan ke barisan hadapan, ketua angkatan tentera Ukraine, Jeneral Oleksandr Syrskyi berkata, Russia sedang mengerahkan ‘segala yang boleh’ dalam serangannya.

“Jika kita kehilangan Pokrovsk, seluruh barisan hadapan akan runtuh,” kata seorang pakar tentera, Mykhaylo Zhyrokhov.

Pokrovsk terletak bersebelahan dengan bandar Myrnohrad. Kedua-dua kawasan itu secara keseluruhan mempunyai populasi melebihi 100,000 orang sebelum perang, namun kebanyakannya telah melarikan diri. 

Ia adalah bandar utama terakhir di wilayah Donetsk yang kekal di bawah kawalan Ukraine.

Selama beberapa minggu ini, pemindahan besar-besaran orang awam Ukraine dari Pokrovsk dijalankan, dengan beribu-ribu penduduk dikatakan telah meninggalkan bandar itu.

Russia telah lama menyasarkan Pokrovsk sebagai salah satu objektif utamanya, di mana selama berbulan-bulan, pasukan Moscow perlahan-lahan mara ke arah zon tersebut.

Pakar percaya bahawa Moscow telah mengerahkan kira-kira satu pertiga daripada Kumpulan Tentera Pusatnya atau kira-kira 30,000 askar ke serangan itu, selain askar simpanan yang paling bersedia untuk berperang.

Sementara itu, kemajuan serangan rentas sempadan tentera Ukraine merosot dengan ketara pada minggu lalu.

Penempatan terbesar yang pernah ditawan oleh Ukraine di Russia, Sudzha, mempunyai populasi sekitar 5,000 orang. Ia adalah tiga kali kurang daripada Novohrodivka iaitu penempatan yang ditawan Russia awal minggu lalu.

Pada Selasa lepas, Ketua Komander Ukraine berkata, tentera Kyiv telah menawan 1,294 kilometer persegi wilayah Kursk termasuk 100 penempatan, serta menangkap 594 tentera Russia dalam proses itu.

“Salah satu objektif operasi serangan di Kursk adalah untuk mengalihkan perhatian pasukan musuh yang ketara dari arah lain, terutamanya dari arah Pokrovsk dan Kurakhove,” kata Syrskyi Selasa lalu.

Namun, objektif itu disifatkan gagal kerana tentera Russia tidak ditempatkan semula dari barisan hadapan di Pokrovsk, sebaliknya mereka mengukuhkan lagi tentera tambahan dan kemaraan turut dipercepatkan. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *