Baik pulih tanah jerlus Jalan Masjid India ambil masa 3 hingga 6 bulan

TANAH MENDAP JERLUS JALAN MASJID INDIA

Kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India, Jumaat lalu.

PETALING JAYA – Proses membaik pulih kawasan tanah jerlus di Jalan Masjid India yang menyebabkan seorang wanita warga India, Vijaya Lakshmi terjatuh pada 23 Ogos lalu dijangka mengambil masa selama tiga hingga enam bulan.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif, kerja baik pulih itu membabitkan siasatan dan kajian integriti paip air bawah tanah oleh Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga akan berkolaborasi dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk meneliti paip air bawah tanah di kawasan tersebut.

“Selain itu, turut dilakukan kerja-kerja pembersihan dan mengambus tempat yang digali ketika mencari mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Tambah beliau, proses mengambus lubang yang digali itu memerlukan kajian geologi dari segi lapisan dan pemilihan jenis tanah yang sesuai untuk mengambus lubang tersebut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memberi kerjsama dengan pihak yang terlibat dan tidak memasuki kawasan yang telah ditutup untuk kerja-kerja membaik pulih.

“Beri kerjasama sepenuhnya dan ikuti arahan yang ditetapkan oleh para petugas supaya kerja-kerja membaik pulih berjalan dengan lancar.

“Tindakan ini penting demi memastikan keselamatan semua orang,” ujarnya.

Semalam media melaporkan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Lakshmi, 48, yang terjatuh dalam kejadian tanah jerlus itu dihentikan atas faktor keselamatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, tindakan selanjutnya di lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India akan diteruskan dengan proses pemulihan (search and recovery).- https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *