KOTA BHARU – Dua lelaki termasuk seorang warga emas maut selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung di Jalan Pendek, dekat Kampung Kota, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, Muhammad Shafiq Mat Dam, 28, dan Ismail Awang, 70-an, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas masing-masing mengalami kecederaan parah.
Saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Nor, 59, berkata, kejadian berlaku ketika Ismail menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli roti di sebuah kedai di kampung itu.
Menurutnya, motosikal yang ditunggang warga emas itu kemudian dilihat bertembung dengan motosikal Muhammad Shafiq yang datang dari arah bertentangan.
“Orang ramai yang melihat kejadian itu terus menghubungi polis selepas melihat kedua-dua dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Nor memberitahu, kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Pendek dan Kampung Kota, di sini disahkan meninggal dunian di tempat kejadian.
Difahamkan, kemalangan berlaku selepas Muhammad Shafiq mengelak asap tebal hasil pembakaran sampah berhampiran rumah penduduk sebelum bertembung dengan motosikal Ismail yang datang dari arah bertentangan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu. – https://amiminerals.org/