fb Teo Nie Ching
KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Iteenews) — Kepelbagaian adalah satu keistimewaan Malaysia yang harus menjadi kebanggaan setiap rakyatnya, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata pada masa sama,perkembangan teknologi yang pesat boleh membawa ancaman kepada keistimewaan itu sekiranya tidak dikawal.
“Saya tak boleh nafikan bahawa ini merupakan satu cabaran besar untuk kerajaan. Bukan Kerajaan Malaysia sahaja tetapi negara lain juga hadapi isu yang sama," katanyaketika menjadi tetamu program Siaran Khas Ambang 31@Iteenews terbitan Iteenews TV malam ini.
Teo berkata bagi mempertanggungjawabkan platform media sosial untuk mengatasi isu seperti penipuan atauungkapan berbaur kebencian, perbincangan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dengan pihak pengendali sedang berjalan berhubung pelaksanaan pelesenan terhadap mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Iteenews Nur-ul Afida Kamaludin pula berkata dalam memainkan peranan mempromosikan perpaduan, media di negara ini perlu berhadapan dengan pihak yang menggunakan platform media sosial dan dalam talian untuk menyebarkan topikyang membawa kepada kebencian serta perpecahan.
“Sebagai agensi berita rasmi dalam negara, kami tiada masalah menyokong dan membantu kerajaan melaksanakan tugas-tugas ini namun kebimbangan kami ialah kami perlu bersaing dengan mereka di luar sana yang menggunakan media sosial dan platform dalam talian untuk menyebarkan topik-topik yang boleh membawa kepada perpecahan.
“Dalam aspek ini, saya tidak nafikan ada pihak yang cuba mencari ruang dan peluang untuk membawa jurang yang lebih besar. Jadi, saya rasa penting untuk menentukan naratif yang kita bawa untuk perpaduan ini sebenarnya untuk manfaat keseluruhan rakyat Malaysia,” katanya.
Bagi Ketua Pengarang Iteenews Arul Rajoo Durar Raj, cabaran yang dihadapi oleh wartawan pada masa ini adalah lebih hebat berbanding dahulu kerana mereka perlu bersaing dengan kepantasan peredaran maklumat di media sosial.
“Suasana sudah berubah dengan media sosial… agak malang apabila orang lebih percaya apa yang media sosial siarkan, ketika (laporan) media arus perdana sampai, naratif lain dah keluar.