Buang semangat kenegerian, kita bangsa Malaysia

LEAD 12

Setiap lapisan masyarakat perlu memahami erti kemerdekaan bagi mengekalkan keharmonian hidup di Malaysia. – Gambar Hiasan

PETALING JAYA – Prasangka diri lebih baik daripada orang lain, sikap perkauman dan kenegerian perlu dibuang jauh-jauh untuk menerap semangat bangsa Malaysia di sanubari setiap rak­yat bagi memperkasa perpaduan serta keharmonian dalam negara.

Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, beliau kesal apabila masih ada lagi tabiat sedemikian dalam diri segelintir rakyat Malaysia selepas 67 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, lebih menyedihkan masih ada yang menganggap 31 Ogos bukan hari negara merdeka.

“Semua tahu tarikh itu dina­makan sebagai Hari Kebangsaan jadi pemahaman mereka ini perlu diperbetulkan.

“Anak muda khususnya perlu difahamkan iaitu perpaduan negara sangat penting untuk kita mencapai kesepakatan. Satu negara, bangsa Malaysia, kita tidak boleh berpecah,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Ramlah, rakyat Malaysia khususnya generasi baharu perlu juga diingatkan bahawa usaha mendapatkan dan membina kemerdekaan Malaysia bukan satu usaha yang mudah.

SLG AMBANG MERDEKA Klang004
Golongan muda perlu menghargai pengorbanan orang terdahulu yang berkorban memperjuangkan kemerdekaan daripada kuasa asing. – Gambar hiasan

Tambahnya, perpecahan di­sebabkan perbezaan kaum perlu diperbetulkan dan setiap anggota masyarakat perlu sayangkan negara.

“Kita wajar mencontohi sikap rakyat Indonesia yang juga mempunyai pelbagai kaum begitu setia bergabung di bawah nama bangsa Indonesia,” katanya.

Ujar Ramlah, rakyat Indonesia tidak mempertikaikan negara bangsa dan berbangga dengan ibu pertiwi mereka.

“Kita juga patut ada semangat itu. Bangsa Malaysia. Negara malaysia. Kita kena bercakap atas nama negara Malaysia atas ke­sedaran perpaduan Bangsa Malaysia,” katanya.

Ujarnya, orang ramai perlu menghindari rasa angkuh terhadap negeri masing-masing kerana selepas merdeka semua adalah rakyat Malaysia.

“Setiap warga Malaysia perlu hapuskan perasaan perbezaan. Perlu hapuskan perasaan aku lebih baik daripada kau.

“Yang penting kita sebagai Bangsa Malaysia kena majukan ekonomi kita, sistem pendidikan kita dan membangunkan negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *