ATHENS – Berjuta-juta bangkai ikan yang terapung dihanyutkan oleh ombak di sepanjang pantai Volos, tengah Greece sehingga mengeluarkan bau amat busuk, lapor portal berita The Sun semalam.
Bau busuk itu sangat ‘menusuk hidung’ sehinggakan penduduk tempatan dan pihak berkuasa bergegas ‘mengalihkan’ bangkai ikan itu awal semalam sebelum bau tersebut merebak ke kawasan tumpuan pelancong.
Kapal pukat tunda dikerahkan untuk mengaut lebih 40 tan bangkai ikan itu sebelum membuangnya ke tempat lain.
Namun, sejumlah restoran telah pun terjejas akibat bau bangkai ikan busuk dan pemandangan yang sangat menjijikkan menjauhkan kehadiran pelancong.
Sebuah restoran tempatan, Neos Kosmos menyatakan, pelancong tidak lagi minum kopi di pelabuhan, di mana terdapat banyak bangkai ikan itu.
Dimosthenis Bakoyiannis, 33, yang memiliki restoran pantai 9.65 kilometer jauhnya dari Volos berkata, pendapatannya menurun 80 peratus pada musim panas tahun ini.
Pakar-pakar mendakwa bahawa masalah itu berpunca daripada banjir yang berlaku pada tahun lalu sehingga menenggelamkan Thessaly.
Mereka berpendapat jaring tidak diletakkan di muara sungai menuju ke Volos menyebabkan air masin membunuh ikan tersebut.
Datuk Bandar Volos, Achilleas Beos berkata: “Mereka (kerajaan) tidak menambah jaring pelindung.”- AGENSI