PETALING JAYA – “Makin ramai kita nampak pegawai kerajaan di pusat beli-belah antara pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang dan 3 hingga 5 petang sekarang, kan? Mungkin kerajaan sudah panjangkan sekali waktu rehat selepas kenaikan gaji mereka. Setahu saya, rehat hanya 1 jam dulu.”
Itu hantaran yang dibuat oleh seorang pengguna di kumpulan Facebook ‘B40 Buat Perangai Apa Hari Ni’, sehingga mendapat perhatian daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Apa yang menjadi pertikaian adalah, gambar yang dikongsikan pada hantaran tersebut dikenal pasti sebagai gambar-gambar lama kaunter pejabat kerajaan yang dirakamkan pada tahun 2022 dan 2023.
Susulan itu, JPA berkongsi semula hantaran tersebut dan ‘menjemput’ pengguna berkenaan ke pejabat JPA untuk membuat aduan dengan disertakan gambar terkini.
“Encik Bakar, anda diundang ke JPA untuk membuat aduan dengan gambar terkini. Kami sedia membantu. Bukti yang kukuh diperlukan untuk tindakan.
“Untuk makluman semua, gambar ini ialah gambar lama pada tahun 2022 dan 2023 yang digunakan semula,” kata JPA menerusi satu kenyataan.
Dalam masa sama, JPA juga memohon kerjasama semua pihak supaya menggunakan gambar terkini jika ingin membuat aduan bagi mengelakkan sebarang salah faham berlaku.
“Terima kasih atas keperihatinan rakyat Malaysia. JPA berbangga dengan sikap rakyat Malaysia yang bersungguh-sungguh inginkan pembaharuan dalam perkhidmatan kerajaan.
“Namun begitu, mohon kerjasama untuk menggunakan gambar yang terkini dan mutakhir agar tidak merosakkan nama kementerian dan jabatan terbabit,” tambah kenyataan sama. – Iteenews