\’Hantuk kepala ke lantai tak tahan sakit\’

LEAD 11

TUAN ROHANA (kiri) menunjukkan kesan pembedahan bagi membuang cecair lebihan pada kepala anaknya Muhammad Arif Izzuddin di rumah mereka di Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu baru-baru ini.

HULU TERENGGANU – Hati ibu mana yang tidak hiba apabila melihat anak lelaki sulung yang sepatutnya menjadi harapan keluarga kini lumpuh dan kabur penglihatan akibat menghidap penyakit tumor otak.

Tuan Rohana Syed Mohamad, 49, berkata, anaknya, Muhammad Arif Izzuddin Yaafar, 24, asalnya periang, aktif dan rajin belajar sebelum disahkan menghidap penyakit itu pada usia sembilan tahun.

Katanya, dia dan suami, Yaafar Endut, 71, merujuk anak­nya kepada doktor apabila dia tiba-tiba hilang kestabilan badan dengan matanya menjadi juling dan berjalan pula terhuyung-hayang pada masa itu.

“Bagaikan luruh jantung saya apabila doktor mengesahkan dia menghidap penyakit tumor otak,” katanya ketika ditemui di Kampung Payang Kayu di sini baru-baru ini.
Katanya, sejak itu, pembelajaran Muhammad Arif Izzuddin mula terganggu namun anaknya tetap bertahan bersekolah sehingga tingkatan satu.

Tambah ibu enam anak itu, waktu itu, Muhammad Arif Izzuddin menanggung penderitaan hampir setiap hari sehingga kadangkala terpaksa menghantuk kepalanya ke lantai bagi menahan kesakitan.

“Dia telah menjalani dua kali pembedahan bagi membuang cecair lebihan di dalam kepala pada usia sembilan dan 13 tahun dan tumor masih belum dibuang kerana berisiko tinggi,” katanya.

Katanya, Muhammad Arif Izzuddin pernah terlantar bertahun-tahun di atas katil namun tahap kesihatannya kini semakin baik dan boleh duduk di kerusi roda.

Katanya lagi, setiap hari, anak saya perlu bergantung kepada enam jenis ubat selain menjalani pemeriksaan berkala di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala
Terengganu setiap bulan.

“Saya sendiri menghadapi masalah saraf, anxiety dan gastrik kronik kesan depresi ekoran terlalu banyak menangis dan memendam rasa bertahun-tahun mengenangkan nasib
anak,” katanya.

Tuan Rohana berkata, suaminya, Yaafar yang menghidap diabetes dan tekanan darah tinggi menyara keluarga dengan menoreh getah dan tiga lagi anak mereka yang berusia 17, 20 dan 21 tahun kini sedang melanjutkan pelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank bersama Tuan Rohana dan Muhammad Arif Izzuddin bernombor 11500-29-00004236-0 (Bank Simpanan Nasional) atau ­boleh menghubunginya di talian ­014-8424 751.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *