KOTA BHARU – Seorang jurutera di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dilaporkan hilang selepas keluar bekerja sejak 10 hari lalu akhirnya dijumpai semalam.
Isteri mangsa, Nurul Ain Muhammad Mudzafar, 39, berkata, dia bersyukur kerana suaminya, Faizal Ahmad, 39, juga berada dalam keadaan selamat.
Menurutnya, dia bagaimanapun tidak dapat berkongsi maklumat berhubung penemuan suaminya itu atas sebab peribadi dan hal keluarga.
“Saya bersyukur suami saya ditemui dalam keadaan selamat. Saya tidak boleh berkongsi dengan lebih lanjut tentang kes ini. Tetapi, saya ingin mengesahkan bahawa dia berada dalam keadaan yang selamat,” katanya.
Mengulas lanjut, Nurul Ain memberitahu, keluarganya juga sudah memaklumkan penemuan Faizal kepada pihak polis.
Dalam pada itu, Nurul Ain berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan rakan-rakan media yang sudi menghebahkan berita sehingga suaminya berjaya ditemui. – Iteenews