PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa menafikan dakwaan yang mengatakan beliau tidak aktif dan tidak turun padang meninjau kejadian tanah jerlus yang berlaku di kawasan Masjid India pada Jumaat lalu.
“Tak betul. Saya menafikan tuduhan tersebut. Ketika kejadian saya telah turun pada hari kedua (Sabtu) selepas mendapat maklumat, saya pada ketika itu (berada) di Kuching, Sarawak dan saya balik segera untuk melihat sendiri perkembangan terkini berkenaan apa yang berlaku.
“Saya juga berhubung secara langsung dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif) untuk mendapatkan input terkini dan saya memantau setiap perkembangan tentang operasi yang mereka laksanakan untuk mencari mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Libat Urus Inisiatif Belanjawan Tahun 2025 bersama Stakeholder Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.
Sementara itu, ditanya berkaitan situasi peniaga dan penjaja di kawasan Masjid India, Zaliha berkata, perkara utama yang perlu diberi perhatian ketika ini adalah aspek keselamatan setiap orang. – Iteenews