Rebah ketika mahu tutup kedai

LEAD page Prihatin

NOOR HUSNIZA mengehadkan waktu berniaga bagi menumpukan menjaga dan mengurus suaminya yang terlantar di Perumahan Ibul Tunggal di Jerantut, semalam.

JERANTUT – Seorang wanita berdepan ujian besar selepas menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas suaminya diserang angin ahmar penghujung tahun lalu.
Noor Husniza Mohd. Hussain, 47, berkata, suaminya, Rosli Mustappa, 50, diserang angin ahmar ketika pulang berniaga di Simpang Ibul Tunggal dekat sini penghujung tahun lalu.

Katanya, dia amat sedih de­ngan ujian berkenaan kerana sebelum ini suaminya orang pen­ting menggerakkan perniagaan makanan yang diusahakan mereka sejak 10 tahun lalu.

“Kini saya membuat kerja seorang diri daripada membeli barang keperluan berniaga, bangun awal membuat persiapan serta mengangkut bahan masakan dan membersihkan kedai yang terletak kira-kira 1 kilometer dari rumah kami.

“Sebelum ini, kami memperoleh pendapatan RM200 sehari tetapi kini agak kurang berikutan saya tidak mampu menguruskan perniagaan seorang diri,” kata­nya di sini semalam.

Bercerita lanjut katanya, suaminya diserang angin ahmar penghujung tahun lalu ketika menutup kedai sebelah malam.

“Suami saya rebah di hadapan kedai ketika hendak menaiki kereta untuk pulang ke rumah. Kejadian itu disedari oleh pekedai sebelah dan terus membe­ritahu saya mengenainya.

“Dia (suami) mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selama dua minggu dan kemudian pulang ke rumah dan keadaannya terlantar,” katanya.

Katanya, sehingga kini anggota bahagian tangan suaminya tidak boleh diangkat dan tidak boleh bercakap langsung.

“Sejak suami sakit, saya sudah berbelanja RM20,000 untuk berulang alik ke hospital bagi rawatan termasuk pengangkutan dan tempat tinggal melibatkan masa menunggu melebihi dua hari.

“Selain berniaga, saya terpaksa menguruskan perbelanjaan anak bongsu berusia 18 tahun yang kebetulan ditawarkan menyambung pelajaran peringkat diploma di Kolej Vokasional Puteri, Temerloh,” ujarnya.

Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi Noor Husniza di talian 013-911 1042 atau menyalurkan bantuan ke akaun Bank CIMB bernombor 7607056297 (Noor Husniza).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *