22 maut, 19 cedera akibat banjir kilat, tanah runtuh di Thailand

banjir thai flash

Gambar fail menunjukkan kawasan yang ditenggelami air banjir yang dicetuskan oleh hujan monsun. – AFP

BANGKOK – Seramai 22 orang terbunuh dan 19 yang lain cedera dalam kejadian banjir kilat dan tanah runtuh akibat hujan monsun di seluruh Thailand, lapor saluran berita Vietnamplus semalam. 

Pihak berkuasa berkata, bencana itu menjejaskan lebih 30,900 isi rumah di 13 wilayah sejak 16 Ogos lalu. 

Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, pihak berkuasa sedang meningkatkan usaha untuk mengalirkan keluar air banjir bertakung yang disebabkan oleh hujan monsun. 

“Pihak berkuasa juga akan memberikan bantuan kepada baki 737 kampung yang terjejas di lima wilayah di utara Thailand,” kata jabatan sama. 

Agensi berkenaan turut memberi amaran kepada penduduk di 31 wilayah di seluruh negara supaya berwaspada terhadap ancaman banjir kilat, aliran air di hulu dan angin kencang sehingga Khamis ini. 

Pada masa sama, pegawai-pegawai diarahkan untuk memantau keadaan dengan teliti dengan pasukan tindak balas kecemasan serta jentera akan ditempatkan di kawasan berisiko tinggi ditimpa bencana. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *