JAKARTA – Satu klip video tular di media sosial di Indonesia memaparkan kanak-kanak menjadi mangsa gas pemedih mata yang dilepaskan oleh anggota polis, lapor saluran berita Tribunnews semalam.
Kejadian berlaku apabila polis cuba menyuraikan protes yang dicetuskan mahasiswa di Kota Semarang, wilayah Jawa Tengah malam semalam.
Rakaman itu menunjukkan beberapa kanak-kanak tersandar dengan lemah sambil memakai pelitup muka.
Bahkan, ada antara mereka yang cuba menutup hidung dengan menggunakan tangan.
Menurut mahasiswa yang berada di tempat kejadian, kira-kira 17 kanak-kanak yang terkesan, manakala seorang lagi dilaporkan pengsan.
Pegawai tempatan, Artanto berkata, pelepasan gas pemedih mata semasa perarakan adalah berdasarkan peraturan polis Indonesia.
“Gas pemedih mata hanya berkesan buat sementara waktu sahaja. Jika sudah biasa, maka kesannya tidak terasa, kecuali buat individu yang pertama kali,” kata Artanto. – AGENSI