Pekerja Australia diberi hak ‘disconnect’ majikan

KONECT

PEKERJA di Australia hari ini diberikan hak untuk tidak membalas panggilan, mesej atau e-mel majikan selepas waktu bekerja. – GETTY

SYDNEY –  Australia memberikan hak undang-undang kepada berjuta-juta pekerja untuk ‘memutuskan sambungan’ semalam, membenarkan mereka mengabaikan komunikasi luar waktu bekerja daripada majikan.

Langkah tersebut dianggap mendatangkan kesusahan kepada industri-industri  besar di negara berkenaan.

Pekerja  kini dibenarkan ‘tidak memantau, membaca atau membalas’  mesej dan percubaan majikan untuk menghubungi mereka di luar waktu kerja melainkan penolakan itu boleh dianggap ‘tidak munasabah.’

Peraturan itu mirip  undang-undang di sebilangan negara Eropah dan Amerika Latin.

Kesatuan-kesatuan sekerja mengalu-alukan undang-undang itu kerana memberi pekerja hak mereka untuk mendapatkan semula keseimbangan kerja dan kehidupan.

“Hari ini (semalam) adalah hari bersejarah bagi rakyat yang bekerja,” kata Presiden Majlis Kesatuan Sekerja Australia, Michele O’Neil,

“Kami  telah memenangi hak undang-undang untuk warga Australia supaya mereka dapat meluangkan masa berkualiti bersama orang tersayang tanpa tekanan kerana terpaksa menjawab panggilan kerja dan e-mel yang tidak munasabah.

“Kesatuan-kesatuan sekerja Australia telah menuntut semula hak untuk ‘berhenti kerja’  selepas waktu bekerja.” katanya.

Bagaimanapun, pembaharuan itu mendapat sambutan dingin daripada industri Australia.

“Undang-undang ini dilaksanakan secara tergesa-gesa, tanpa pemikiran mendalam dan sangat mengelirukan,”

“Paling tidak, ia menyebabkan majikan dan pekerja tidak pasti sama ada mereka boleh menerima atau membuat panggilan di luar waktu untuk menawarkan syif tambahan,” kata  persatuan majikan dikenali sebagai Kumpulan Industri Australia dalam satu kenyataan.

Undang-undang  yang digubal pada Februari lalu itu berkuat kuasa untuk syarikat bersaiz sederhana dan besar bermula semalam.

Syarikat lebih kecil dengan kurang 15 pekerja pula akan dilindungi mulai 26 Ogos 2025.

Di bawah undang-undang tersebut, pekerja boleh diarahkan oleh tribunal untuk berhenti menolak komunikasi  luar waktu, dan majikan juga boleh diarahkan untuk berhenti menghubungi pekerja secara tidak munasabah.

Persoalan tentang apa yang munasabah akan ‘bergantung pada keadaan’, kata Ombudsman Kerja Adil dalam satu kenyataan. – AFP 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *