TAIPEI – Seorang pengurus selebriti Taiwan menawarkan untuk menjadikan seorang pesohor remaja sebagai anak angkat dan mewarisi kekayaannya bernilai sekitar NT300 juta (RM61.26 juta), lapor portal berita MSNews
Sun Derong yang merupakan pengurus selebriti paling popular di Taiwan, baru-baru ini menjadi tajuk utama akhbar dan media sosial kerana menawarkan untuk menjadikan seorang pesohor media sosial berusia 19 tahun dikenali sebagai Shao An sebagai anak angkatnya.
Dalam satu klip video di laman Instagram, Sun yang sebelum ini menguruskan Show Luo dan kumpulan boyband 5566 bertanya kepada remaja itu jika dia sanggup menjadi anak angkat dan mewarisi kekayaannya.
“Kita perlu hidup bersama dan anda perlu menjaga saya sehingga ke akhir hayat saya,” kata Sun kepada remaja itu.
Pengurus selebriti terkenal itu disahkan menghidap kanser pundi kencing tahap 3 pada 2013.
Doktor-doktor dilaporkan terpaksa membuang pundi kencingnya dan menggantikannya dengan pundi tiruan.
Akibat keadaan kesihatannya, lelaki berusia 63 tahun itu terpaksa berundur daripada industri hiburan yang sibuk dan memberi perhatian kepada kesihatannya. – AGENSI