Kredit: MIDA
GEORGE TOWN,26Ogos (Iteenews) — RIGOL Technologies Co Ltd yang berpangkalan di China mewujudkan kilang, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pusat perkhidmatan pertama luar negara di Pulau Pinang dengan pelaburan bernilai lebih RM100 juta.
Dalam kenyataan bersama pada Isnin, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan pembuat peralatan ujian elektronik itu menjelaskan kemudahan baharu tersebutterletak di kawasan seluas 0.83 hektar dengan tapak kilang seluas 0.72 hektar.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelaburan itu menawarkan peluang kepada Malaysia untuk meningkatkan tahap rantaian bekalan di samping menjana pekerjaan bernilai tinggi.
“Kita gembira apabila RIGOL memilih Malaysia untuk kilang pembuatan pertamanya di luar China.
“Di MIDA, kami komited sepenuhnya untuk memudahkan perkembangan seperti ini yang membawa sektor pembuatan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan itu.
Fasa pertama kemudahan baharu itu, yang telah memulakan operasi, meliputi barisan pengeluaran berbilang, menumpukan pengeluaran alat ujian dan pengukuran elektronik.
Fasa kedua akan mempunyai barisan pengeluaran tambahan dan menumpukan usaha penubuhan pusat R&D canggih serta pusat perkhidmatan luar negara yang komprehensif untuk menyokong komitmen berterusan RIGOL terhadap inovasi dan perkhidmatan pelanggan.
Sementara itu, CEO RIGOL Technologies (Malaysia) Sdn Bhd Wang Ning berkata kemudahan Pulau Pinang merupakan pencapaian penting dalam strategi pengembangan globalnya di samping menekankan ketekunan syarikat untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan antarabangsa.
Dengan menambah baik keupayaan perkhidmatan di pasaran luar negara, RIGOL menyasar untuk lebih memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat selain mengekalkan pertumbuhan stabil dalam industri.