Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan ketika bertemu pengamal media selepas meluangkan masa dan beramah mesra dengan petugas media di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Iteenews) — Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan Barisan Nasional (BN)dan UMNO boleh bergerak secara solopada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sebaliknya Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata kepimpinan parti akan meneliti secara mendalam berhubung perkara itu apabila tiba masanya berdasarkan keadaan semasa parti pada ketika itu.
“Sebab kita tidak boleh menilai diri kita sekarang untuk 2027. Bila sampai masa dah hampir nak pilihan raya nanti, kita lihatlah bagaimana keadaan ataupun kekuatan parti kita.
“Kalau tak boleh bergerak solo, kita memerlukan rakan untuk kita menghadapi pilihan raya juga kita akan fikirkan pada ketika itu. Sekarang ini adalah tidak adil untuk kita menilai diri kita sekarang untuk 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Laman Media di Perhimpunan Agung UMNO 2024di sini hari ini.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam di dalam ucapan dasarnya berkata parti itu tidak akan bergerak solo dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang bagi mengelakkan berlaku pertindihan kerusi dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Ahmad Zahid berkata sebagai salah sebuah parti dalam kerajaan, kerjasama sesama parti wajar dilaksanakan dengan menghormati kerusi tradisi masing-masing.