KUALA LANGAT – Kehilangan seorang operator mesin selama lima jam terungkai apabila mayatnya ditemui dalam keadaan tragis dengan hanya tinggal cebisan tulang selepas dipercayai terjatuh dalam mesin memproses tandan sawit dalam sebuah kilang di Jenjarom, di sini semalam.
Penemuan cebisan tersebut dipercayai milik mangsa lelaki berusia 34 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 5.57 petang selepas ‘ghaib’ dari tempatnya bertugas pukul 1.50 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, pihaknya hanya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 9.15 malam daripada pengurus kilang memproses sawit tersebut.
Katanya, berdasarkan siasatan awal dikatakan mangsa telah keluar untuk berehat pukul 1 tengah hari sebelum kembali bekerja 50 minit kemudian.
Giliran rehat pula kemudiannya diambil rakan sekerja mangsa kira-kira pukul 2 petang.
“Bagaimanapun, rakan mangsa mendapati mangsa tiada di lokasi dan mesin serat tersebut beroperasi tanpa operator ketika dia masuk bekerja semula pukul 2.30 petang.
“Ini membuatkan pengurus kilang dan pekerja lain mencari mangsa di kawasan sekitar sebelum menjumpai kasut, serpihan baju serta cebisan tulang di hujung mesin penghantar di atas timbunan serat sawit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, hasil siasatan awal turut mendapati mangsa dipercayai terjatuh ke dalam mesin memproses tandan sawit semasa mengendalikan mesin tersebut.
Tambahnya, kesemua bahagian tubuh mangsa hancur di dalam mesin tersebut dan semua cebisan berkaitannya dibawa serta diuruskan forensik Hospital Banting.
“Berdasarkan semakan mendapati mangsa baharu sahaja bekerja lapan hari bermula 13 Ogos lalu. Tiada sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Iteenews