Zii Jia dedah punca \’tumbang\’ di Jepun

LEE ZII JIA 3

ZII JIA mengakui keadaan fizikal menjadi punca dia tewas di pusingan awal Terbuka Jepun selepas masih kepenatan ekoran aksi di Olimpik Paris.

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mendedahkan bahawa faktor fizikalnya yang tidak mengizinkan selepas pulang dari berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi salah satu punca dia tersingkir di Terbuka Jepun kelmarin.

Pada aksi yang berlangsung di Yokohama Arena itu, pemenang pingat gangsa Olimpik Paris itu dilihat bergelut untuk menampilkan permainan sebenar sebelum tewas straight set 18-21, 13-21 kepada pemain Perancis, Alex Lanier dalam tempoh 41 minit.

Tegas Zii Jia, keadaannya badannya masih belum pulih 100 peratus sejak pulang dari Paris dan mengakui bahawa dia tiada sebarang perancangan untuk ‘menarik diri’ beraksi di Terbuka Jepun.

“Fizikal saya berasa lemah sejak beberapa hari lalu selepas pulang dari Sukan Olimpik. Namun, untuk tidak menyertai kejohanan (Terbuka Jepun) bukanlah dalam perancangan saya selagi tidak membahayakan saya.

“Saya telah mencuba yang terbaik dan berjuang dalam perlawanan tadi, tetapi badan saya tidak membenarkan saya untuk beraksi pada tahap terbaik,” kata Zii Jia menerusi Instastory miliknya semalam.

Dalam pada itu, Zii Jia turut menambah bahawa dia akan memanfaatkan masa yang ada untuk berehat dan pulih untuk menghadapi kejohanan seterusnya.

“Saya harap dapat pulih dengan baik bagi menghadapi kejohanan yang akan datang,” tambah Zii Jia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *