KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Iteenews) –Kerugian bersih Pos Malaysia Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 meningkat kepada RM55.92 juta daripada RM27 juta kerugian bersih dicatatkan setahun lalu.
Hasil susut kepada RM443.43 juta daripada RM465.20 juta yang sebelumnya disumbangkan oleh pendapatanlebih rendah dalam segmen pos dan logistik.
Bagi separuh kedua 2024, kerugian bersihnya naikkepada RM75.61 juta daripada RM54.67 juta kerugian bersih pada tahun sebelumnya manakala hasil lebih rendah pada RM935.40 juta daripada RM947.47 juta.
Pos Malaysia berkata dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini bahawa hasil segmen pos merosot sebanyak 10 peratus disebabkan penurunan dalam jumlah mel pukal yang dikendalikan dan volum antarabangsa lebih rendah pada suku tersebut.
Segmen logistik juga mencatatkan hasil lebih rendah pada RM67.2 juta berbanding RM79.9 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023.
"Penurunan ini kebanyakannya disebabkan oleh jumlah yang lebih rendah dikendalikan daripada perniagaan automotif dan pengurusan kargo," katanya.
Bagaimanapun, segmen penerbangan menyumbangkan hasil lebih tinggi sebanyak RM88.0 juta berbanding RM73.1 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 kebanyakannyadisebabkan oleh perniagaan katering dalam penerbangan dengan jumlah makanan yang lebih tinggi.
"Walaupun hasil yang lebih tinggi, keuntungan sebelum cukai lebih rendah disebabkan kos operasi lebih tinggi yang berkaitan dengan perniagaan pengendalian kargo dan pergudangan e-dagang. Segmen lain terus berkembang dengan sihat dengan peningkatan hasil yang disumbangkan terutamanya daripada peningkatan dalam penjualan sijil digital,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Charles Brewer dalam satu kenyataan berasingan berkata beliaumengaitkan prestasi suku keduayang lebih lemah daripada dijangkakan kepada persekitaran pasaran mencabar yang berlanjutan khususnya berkaitan segmen bungkusan.