Najib tiada kepentingan – Peguam

WhatsApp Image 2024 06 05 at 12.43.33 PM

Najib

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan tidak pernah menyatakan kepentingan yang ada atau diperoleh oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketiadaan `kepentingan’ itu telah menyebabkan pasukan peguam bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak mampu menyediakan satu pembelaan yang menyeluruh.

“Dalam kes-kes lain, pertuduhan dengan jelas menyatakan kepentingan yang ada pada tertuduh ketika melakukan sesuatu kesalahan tetapi tidak dalam kes ini. Tiada sebarang kepentingan yang Najib ada atau perolehi dinyatakan pertuduhan, ini sesuatu yang bersejarah, tidak pernah berlaku waima dalam kes (penyelewengan) SRC International Sdn. Bhd.

“Kalau pendakwaan tidak menyatakan secara spesifik kepentingan yang tertuduh ada dalam pertuduhan, jadi bagaimana kami hendak menangani dakwaan dan menyoal balas saksi dari awal lagi.

“Pendakwaan tidak memfokuskan `serangan’ mereka terhadap tertuduh, jadi bagaimana kami ingin fokus dalam pembelaan kami,” ujar peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika berhujah di akhir pendakwaan kes penyelewengan dana RM2.28 bilion dana 1MDB yang memasuki hari kedua di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Selain itu, Muhammad Shafee menyatakan keempat-empat pertuduhan telah gagal untuk menyatakan tertuduh dalam setiap keputusan yang dibuat oleh BOD 1MDB.

“Mereka (pendakwaan) hanya menyebut bahawa tertuduh mempunyai kepentingan langsung dan membiarkannya begitu sahaja. ‘Kepentingan langsung’ tertuduh dalam keputusan tersebut telah dibiarkan begitu sahaja untuk Mahkamah ini dan tertuduh fikirkan.

“Pendakwaan telah gagal untuk menyatakan di mana kepentingan langsung yang dikatakan terletak,”ujar Muhammad Shafee.

Oleh itu, peguam terbabit sekali lagi menegaskan bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya adalah cacat, tidak wajar, samar-samar, mengelirukan dan sangat prejudis sekaligus menyebabkan tertuduh gagal membuat persediaan sewajarnya dalam menyediakan pembelaannya.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Hujahan yang didengar oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *