SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan sebuah agensi berkaitan kerajaan ditahan kerana disyaki membuat tuntutan mengandungi butiran mantan palsu yang bernilai kira-kira RM15,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan kira-kira pukul 3 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, semalam.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2022 hingga 2023.
“Suspek dipercayai mengemukakan sebut harga, nota penghantaran, invois dan resit bayaran tunai dari sebuah syarikat, sedangkan pembekalan dan perolehan tidak pernah dilaksanakan syarikat terbabit,” katanya.
Perintah reman selama lima hari sehingga Sabtu ini terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 2 Shah Alam, Selangor, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan untuk siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.-Iteenews.