Ikrar sandal wanita rupanya mesin basuh, pengering

mesin

Antara mesin basuh dan pengering pakaian yang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia. FOTO: SADDAM YUSOFF/KOSMO!

KLANG – Penyeludupan 21 buah mesin basuh dan pengering pakaian tanpa permit yang dicampur bersama sandal berjaya dikesan menerusi penahanan sebuah kontena di Zon Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang di sini pada bulan lalu.

Kejayaan tersebut susulan pemeriksaan pihak berkuasa ke atas sebuah kontena dari sebuah negara Asia pada 30 April lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasan), Raizam Setapa @ Mustapha berkata, siasatan mendapati kontena itu tiba di Pelabuhan Klang pada 25 April lalu dengan pemeriksaan di dalamnya menemukan sandal.

Bagaimanapun pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai 21 buah mesin basuh dan pengering pakaian dalam kontena tersebut.

“Pengimport membuat ikrar palsu sebagai sandal wanita dalam Borang Kastam. Kesemua peralatan elektrik itu tidak mempunyai permit import daripada Suruhanjaya Tenaga,”katanya pada sidang akhbar hari ini.

Nilai rampasan termasuk cukai sebanyak RM521,400.

Dalam kes berasingan, beliau memberitahu, pihaknya turut merampas sebanyak 12,800 kilogram (kg) beras bernilai RM304,640 daripada sebuah kontena pada 11 April lalu.

Kontena itu tiba di Pelabuhan Klang pada 25 Mac lalu dan diikrar sebagai produk makanan bagi mengelak keperluan permit daripada Kawal Selia Padi dan Beras.

“Kedua-dua kes masih disiasat mengikut Seksyen 135 (1) dan Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967,”katanya. – https://amiminerals.org/