NGO lapor polis, ‘PK Battle’ buat pengguna jadi tidak ketahuan

report e1748275066187

Barisan NGO menunjukkan laporan polis berkaitan PK Battle yang dibuat di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, hari ini.

GEORGE TOWN – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat segera trend ‘PK Battle’ di TikTok yang dilihat menjadi ancaman besar terhadap kesihatan mental pengguna media sosial.

Presiden Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, L. Francis berkata, beliau mengulangi gesaan itu terhadap pihak terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar segera menyiasat platform berkenaan yang dilihat sebagai medan pertaruhan kurang sihat.

Katanya, permainan PK Battle yang disiarkan secara langsung di TikTok itu bukan sahaja membuang masa, malah mendorong masalah sosial termasuk jenayah peras ugut, buli dan eksploitasi seksual.

“Jika tidak disekat dan dibendung, fenomena ini boleh menjadi satu ancaman yang serius terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan emosi khususnya belia.

“Hari ini, laporan polis dibuat di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Selangor dan Johor bagi mendesak siasatan segera dijalankan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kandungan yang ditayangkan secara langsung itu juga didakwa melanggar garis panduan komuniti TikTok.

“Siaran langsung itu dilihat mengandungi unsur-unsur seperti kata-kata kesan atau provokasi melampau, perbuatan menjatuhkan maruah antara pengguna media sosial serta unsur buli siber secara terbuka.

“Kami tidak mahu tunggu sehingga berlaku insiden lebih serius seperti penipuan, penderaan atau gangguan seksual. Ketika ini, ramai anak muda terutama pelajar menjadikan platform itu sebagai tontonan utama,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga menyeru pihak MCMC agar mengambil tindakan terhadap individu atau pempengaruh dalam kandungan tersebut.

“Kami percaya akan kredibiliti PDRM dan MCMC yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan segera. Kami sedia memberi kerjasama dalam siasatan dan menyerahkan bukti tambahan sekiranya diperlukan,” ujarnya.

Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan pengguna media sosial khususnya anak muda dikatakan semakin terjerat dengan trend ‘PK Battle’ di TikTok sehingga ada yang sanggup bertindak menyapu tepung atau najis haiwan pada muka semata-mata mahu mendapatkan hadiah digital. -https://amiminerals.org/