Tanah Kampung Melayu Majidee sambung pajak hingga 2124

IMG 0021

DATUK Onn Hafiz Ghazi (tengah) bergambar bersama tujuh penerima notis sambungan tempoh pajakan tanah 99 tahun di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.

ISKANDAR PUTERI – Langkah kerajaan negeri menyambung tempoh pajakan tanah rizab Melayu di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru kepada 99 tahun menamatkan usaha mempolitikkan perkara tersebut untuk memburukkan imej kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, seramai tujuh penduduk kampung itu sudah menerima Notis 5A Permohonan Memperbaharui Tempoh Pajakan Tanah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, notis itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sendiri.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Johor yang mendengar keluhan rakyat khususnya penduduk di Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru.

“Saya cukup bangga apabila suara dan usul yang dibawakan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkaitan isu rakyat dipandang serius Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan cara penuh berhemah,”katanya selepas majlis penyerahan notis, di sini.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO memberitahu, pihaknya berharap tiada lagi suara sumbang atau dakwaan tidak berasas mengatakan kerajaan negeri ingin merampas tanah atau membangunkan Tanah Rizab Melayu di Kampung Melayu Majidee.

“Tiada langsung dalam agenda Kerajaan Negeri Johor hari ini untuk merampas Tanah Rizab Melayu, sebaliknya berusaha untuk menjaga dan memberi nilai tambah buat kawasan berkenaan.

“Sehubungan itu, Menteri Besar turut menyeru mana-mana pihak yang layak di Kampung Melayu Majidee untuk membuat penyambungan tempoh pajakan ini dengan segera,”jelasnya.- https://amiminerals.org/