KUALA LUMPUR – Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045 yang diterima pakai oleh para pemimpin serantau pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 membawa makna penting kepada penduduk ASEAN.
ACV 2045 antaranya menetapkan tentang hala tuju keamanan dan keselamatan untuk memastikan penduduk rantau ini akan terus hidup dalam rantau yang lebih aman, stabil dan selamat.
Berdasarkan soalan lazim mengenai ASEAN 2045 dikeluarkan Kementerian Luar, visi tersebut akan membentuk sebuah komuniti ASEAN yang inklusif dan bersatu padu yang menghormati kepelbagaian politik, sosial, agama, budaya dan etnik.
“Hak asasi, kebebasan asas, maruah dan keadilan sosial penduduk ASEAN akan dipromosikan dan dilindungi. Mereka akan mendapat manfaat daripada ASEAN yang makmur sebagai pasaran tunggal dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi, pertumbuhan berasaskan produktiviti dan inovasi.
“Mereka akan mendapat peluang pekerjaan yang lebih banyak dan berkualiti, serta mobiliti tenaga kerja mahir dan bakat yang lebih besar. Mereka akan mendapat manfaat daripada ekosistem ekonomi serantau yang berkembang pesat termasuk kemajuan dalam sains, teknologi dan inovasi,”kata Kementerian Luar.
ACV 2045 turut menyenaraikan tentang ekosistem digital selamat dan dipercayai yang disokong oleh perkhidmatan digital maju yang akan dinikmati penduduk ASEAN serta manfaat daripada pertumbuhan mampan termasuk kemajuan dalam ekonomi hijau dan ekonomi biru.
Penduduk ASEAN malah akan menikmati lebih banyak peluang ekonomi, kesalinghubungan serantau yang dipertingkatkan, kemudahan perjalanan dalam ASEAN dan urusan perniagaan serta ekonomi serantau yang berdaya tahan.
“Mereka akan mendapat manfaat daripada penggunaan mata wang tempatan bagi urus niaga rentas sempadan dan mendapat akses yang lebih baik kepada sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan.
“Golongan wanita, belia dan kanak-kanak akan mendapat manfaat daripada penyertaan yang lebih besar dalam proses membuat keputusan di ASEAN,”kata Kementerian Luar.
Selain itu, ACV 2045 menetapkan hasrat menjadi pasaran tunggal yang makmur dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan inklusif, pertumbuhan berasaskan produktiviti dan inovasi.
Melalui visi baharu yang dikemas kini, ASEAN dijangka menjadi pemain utama dalam ekonomi global dan ekonomi keempat terbesar di dunia.
Ia berteraskan pertumbuhan mampan dan tadbir urus yang baik yang diperkasakan oleh teknologi maju dan responsif terhadap peluang-peluang baharu.
ACV 2045 menggesa ASEAN untuk memperkukuh peranannya dalam rantaian bekalan global bagi mencapai kecekapan maksimum dan meningkatkan skala pengeluaran untuk barangan dengan nilai tambah. – https://amiminerals.org/