Suami isteri maut, Kenari dinaiki langgar belakang treler

kenari

SUAMI isteri maut Perodua Kenari dinaiki merempuh belakang treler dalam kemalangan di Jalan Bindu, Tongkang Pechah, Batu Pahat pagi semalam.

BATU PAHAT – Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Kenari dinaiki merempuh belakang sebuah treler dalam kejadian di Jalan Bindu, Tongkang Pechah pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian pukul 9.30 pagi itu melibatkan sebuah kereta dipandu Mazalan Balia, 69, bersama isterinya, Pauziyah Radin Ahmad, 75, dengan sebuah treler dipandu seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua kenderaan itu daripada arah perjalanan sama iaitu daripada dari arah Bindu ke Tongkang Pechah.

“Ketika sampai di tempat kejadian, treler yang berada di hadapan kereta itu telah memberhentikan kenderaan kerana lampu isyarat bertukar menjadi merah.

“Akibat daripada kejadian itu, kereta dipandu warga emas itu tidak sempat memberhentikan kereta dinaikinya sehingga berlaku pelanggaran pada bahagian treler berkenaan,”katanya melalui kenyataan hari ini.

Tambah Shahrulanuar lagi, akibat perlanggaran itu, lelaki warga emas dan isterinya itu telah mengalami kecederaan parah di beberapa bahagia badan menakala pemandu tidak cedera.

Ujarnya, pasangan suami isteri itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk mendapatkan rawatan sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia pada pukul 12 tengah hari dan 1.45 petang. -https://amiminerals.org/.