Banjir terburuk ‘musnahkan’ timur Australia

NSW BANJIR

BANJIR melanda rantau Taree dalam negeri New South Wales Rabu lepas. – NSW/RFS

SYDNEY – Banjir paling buruk membawa kemusnahan besar di timur Australia semalam, meliputi rumah-rumah dengan lumpur, menghanyutkan jalan-jalan  raya dan mengakibatkan 50,000 orang terpisah daripada bantuan.

Empat mayat dikeluarkan daripada  banjir besar yang menenggelamkan sebilangan kawasan di  utara negeri New South Wales(NSW) itu, meliputi rantau dan lembah subur kira-kira 400 kilometer dari Sydney.

Pasukan penyelamat sedang bersiap sedia untuk melancarkan operasi pembersihan besar-besaran apabila air mula surut pagi semalam di samping meninjau kerosakan yang berlaku.

Banjir kali ini berpunca daripada taburan hujan selama enam bulan yang turun dalam masa hanya tiga hari.

“Begitu banyak premis perniagaan dimasuki air dan memerlukan operasi pembersihan besar-besaran,”kata Datuk Bandar Kempsey, Kinne Ring. 

Bandar pertanian  itu adalah antara  yang paling teruk di landa banjir.

Ketua Perkhidmatan Kecemasan NSW,  Dallas Burnes berkata,  lebih 2,000 pekerja telah dikerah dalam misi menyelamat dan pembersihan.

“Fokus utama pada masa ini ialah mengagihkan bekalan asas kepada semua  komuniti  terpencil,”katanya sambil menambah, 50,000 orang masih terkandas.

Menurutnya, petugas-petugas penyelamat telah menyelamatkan lebih 600 orang sejak air mula naik awal minggu ini. – AFP