BACHOK – Seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dengan kejadian menyimbah asid terhadap pemilik spa sehingga mendatangkan cedera parah di Beris Kubur Besar di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, suspek yang berusia 38 tahun yang bekerja di kilang getah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kuala Krai, petang semalam.
Menurutnya, serbuan yang dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan kira-kira pukul 4 petang.
“Wanita terbabit berada di dalam rumah semasa serbuan dijalankan. Kita syak wanita terbabit salah seorang suspek terlibat. Polis sedang mengesan beberapa lagi suspek bagi membantu siasatan,”katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohamad Ismail memberitahu, sebelum serbuan pihaknya telah melakukan risikan awal di rumah berkenaan.
Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Msjistret Bachok pagi ini untuk mendapat perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. – https://amiminerals.org/