BANDAR GAZA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan semalam bahawa pihaknya menghantar 90 lori bantuan ke Semenanjung Gaza, ketika tekanan antarabangsa meningkat berhubung serangan dan sekatan baharu Israel ke atas wilayah Palestin dilanda perang itu.
Pengagihan bantuan pertama di Gaza sejak awal Mac lalu itu berlaku ketika Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, dia terbuka kepada ‘gencatan senjata sementara’ tetapi menegaskan Israel akan tetap menawan seluruh wilayah Palestin.
Tiga hari selepas Israel mengumumkan akan membenarkan bantuan terhad masuk, PBB mengumpulkan kira-kira 90 lori di lintasan sempadan Kerem Shalom dan menghantarnya ke Gaza, kata Stephane Dujarric selaku jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Perkembangan itu berlaku beberapa jam selepas tentera Israel melepaskan tembakan amaran di Tebing Barat berhampiran lokasi lawatan delegasi diplomat asing, tindakan yang mencetuskan kecaman global.
Di Gaza pula, pejabat media kerajaan Hamas melaporkan ketibaan 87 lori bantuan untuk memenuhi ‘keperluan kemanusiaan yang mendesak’.
Sementara itu, Israel terus melakukan pengeboman dengan kementerian kesihatan Gaza melaporkan semalam bahawa mayat 82 orang dibawa ke hospital di seluruh wilayah itu dalam tempoh 24 jam sebelumnya. – AFP