ASEAN 2025: Malaysia Mampu Jadi Pemacu Pembangunan Lestari

–fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 22 Mei (Iteenews) — Malaysia berupaya mengetengahkan model pembangunan lestari sebagai asas kepada pertumbuhan seimbang antara pembangunan ekonomi, keadilan sosial dan pemeliharaan alam sekitar melalui pengumpulan amalan terbaik dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Zainal Abidin Sanusi berkata Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk menerajui pendekatan pembangunan baharu itu berdasarkan komitmen ditunjukkan berkaitan dasar hijau, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui serta pelaksanaan inisiatif ekonomi kitaran.

“ASEAN menyatukan 10 negara dengan kekuatan dan kepakaran tersendiri, dan Malaysia sebagai pengerusi tahun ini boleh berperanan sebagai pemangkin model pembangunan lestari serantau yang tidak terikat kepada acuan negara maju terbukti tidak mampan,” katanya kepada Iteenews.

Beliau berkata krisis iklim merupakan realiti semasa dan bukan lagi cabaran masa depan, sekali gus menuntut negara anggota ASEAN merangka dasar yang berani serta mengambil tindakan secara kolektif.

Zainal Abidin berkata ASEAN perlu bergerak daripada model pertumbuhan eksploitatif kepada pendekatan yang mengutamakan ketahanan iklim, pengurusan sumber secara lestari dan keadilan sosial.

Ad Banner

“Komuniti peribumi di rantau ini telah lama mengamalkan gaya hidup seimbang dengan alam sekitar seperti pengurusan tanah secara lestari dan penggunaan kaedah pembakaran terkawal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata tema Kepengerusian ASEAN 2025 “Keterangkuman dan Kemampanan” perlu diterjemahkan kepada dasar tindakan yang konkrit dan bukan retorik semata-mata.

“Tanpa keterangkuman, ketidaksamarataan akan terus melebar dan tanpa kelestarian, kemajuan tidak akan bertahan… justeru, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN buat kali kelima harus memimpin komitmen kolektif bagi memastikan pembangunan hari ini tidak menjadi beban kepada generasi akan datang,” katanya.