Berselindung di sebalik kedai gambar tawar servis dokumen pengenalan diri palsu

pasport JIM serbuan

Wan Mohammed Saupee (tengah) menunjukkan kad pengenalan diri palsu dalam sidang akhbar di JIM KL, hari ini.

KUALA LUMPUR – Taktik dua beranak yang berselindung di sebalik kedai gambar dan jam tangan dengan menawarkan servis pemalsuan dokumen pengenalan diri terbongkar apabila dicekup Jabatan Imigresen (JIM) malam semalam.

Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 34 dan 60 tahun itu ditahan di sebuah premis di kawasan Chow Kit, di sini, kira-kira pukul 7 malam menerusi Operasi Penguatkuasaan (Ops Serkap) yang dijalankan oleh JIM Kuala Lumpur.

Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, kegiatan haram itu telah beroperasi sejak awal tahun ini dengan menyasarkan pelanggan dalam kalangan ejen dan warga asing.

Beliau berkata, antara perkhidmatan ditawarkan adalah pemalsuan slip E-Pass Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang disyaki dipinda maklumat asal, i-Kad, Mykad dan Mykid tidak tulen serta kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Harga bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan adalah dari RM60 hingga RM140 dan tempoh proses siap dalam masa satu hari.

“Suspek akan berhubung melalui aplikasi WhatsApp untuk tempahan dan akan meminta pelanggan menyediakan gambar ukuran pasport sebelum membuat bayaran secara atas talian atau tunai,”katanya dalam sidang akhbar di JIM KL, hari ini.

Wan Mohammed Saupee berkata, antara barangan yang dirampas termasuk satu set komputer, komputer riba, mesin mencetak kad, mesin mengira wang serta kad mentah dilengkapi cip dan pelekat hologram seakan-akan tulen.

“Pemeriksaan lanjut menemukan lebih 100 keping kad mentah dan pelekat hologram serta salinan slip PLKS palsu yang masih berada dalam mesin cetak. Wang tunai lebih RM4,000 juga turut dirampas,”katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati salah seorang suspek mempunyai kes lampau di bawah akta imigresen.

Selain itu, ujarnya, pihaknya juga mengesan wujudnya transaksi pengubahan wang haram dan akan merujuk kes tersebut di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA).

Katanya, kedua-dua suspek dibawa ke pejabat Sektor Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM KL untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Sekyen 55D Akta Imigresen 1959/63, iaitu mana-mana orang yang membuat, memalsukan atau meminda suatu pengendorsan atau suatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu visa, permit, pas atau kelayakan di bawah akta ini.

Wan Mohammed Saupee menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak termasuk warga tempatan yang cuba bersekongkol atau bekerjasama dengan pendatang asing tanpa izin.

“Ini merupakan kesalahan serius yang boleh menyumbang kepada ancaman negara. Perlu diingatkan, segala pas atau kad lawatan hanya dikeluarkan oleh JIM sahaja, tidak ada pihak ketiga termasuk ejen,”katanya. – https://amiminerals.org/