BEIJING – Seorang wanita terpaksa menanggalkan solekan tebal selepas identitinya gagal disahkan oleh sistem pengecaman wajah di sebuah lapangan terbang di China, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Kejadian berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong pada September tahun lepas.
Rakaman dimuat naik di media sosial menunjukkan wanita itu dimarahi pegawai imigresen dan diarah mengelap solekannya sehingga dia kelihatan seperti dalam gambar pada dokumen pengenalan.
“Lap semuanya sampai anda kelihatan sama seperti gambar dalam pasport. Kenapa solek seperti itu? Anda telah mengundang masalah,” kata pegawai berkenaan.
Wanita itu kemudian membersihkan mukanya dengan menggunakan tisu basah.
Tidak jelas sama ada wanita itu berjaya melepasi prosedur pengecaman wajah.
Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
“Setebal mana pun solekan, wajah tidak dapat dikesan. Bukankah sudah tiba masanya untuk menaik taraf peralatan?” kata seorang netizen. – AGENSI