JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial di Indonesia memaparkan dua penduduk tempatan terpaksa mengusung seorang kanak-kanak sejauh 1 kilometer untuk mendapatkan rawatan di hospital, lapor saluran berita Detik.
Kejadian berlaku di Kampung Kramat Sukoharjo, Jember, dalam wilayah Jawa Timur.
Rakaman yang tersebar di aplikasi WhatsApp memaparkan mereka terpaksa mengharungi jalan yang curam dan berbatu.
Menurut penduduk dikenali sebagai M Soleh, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu mengalami masalah usus, menyebabkan dia tidak mampu berjalan mahupun didukung.
Lebih teruk apabila tiada laluan lain untuk pergi ke hospital Jatiroto di Lumajang, selain jalan tersebut.
“Gadis itu terpaksa diusung kerana jalan itu berbatu dan tidak dapat diakses oleh kenderaan.
“Dia tidak mampu berjalan dan didukung kerana perutnya sakit. Dia dibantu oleh jiran tetangga dan berjalan sekitar 1 kilometer sehingga adanya ambulans,” kata M Soleh. – AGENSI