SHAH ALAM – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor diarahkan merampas dan menyita sebarang iklan berkaitan produk rokok elektronik (vape) di negeri ini.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, penyitaan tersebut melibatkan mana-mana medium pengiklanan sama ada fizikal mahupun papan iklan digital (Led) di bawah seliaan PBT.
Katanya, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat penyelarasan berhubung cadangan mempertimbangkan pengharaman penjualan vape.
“Tindakan ini adalah selaras dengan peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang secara jelas melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk merokok elektronik.
“Ia juga dilakukan sebelum keputusan muktamad dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengenai cadangan pengharaman vape di Selangor,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Jamaliah, satu mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan beliau telah diadakan baru-baru ini, dengan disertai Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsuddin, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), pihak berkuasa tempatan (PBT), serta pegawai-pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Ujarnya, mesyuarat telah meneliti pelbagai isu berkaitan penggunaan dan penjualan vape termasuk cabaran penguatkuasaan, pelesenan, aspek perundangan, serta pemantauan.
Turut dibincangkan adalah isu penjualan secara dalam talian memandangkan ia sukar dikawal dan sering menjadi saluran utama kepada golongan remaja untuk mendapatkan produk ini.
“Menurut Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 dianggarkan hampir 14.9 peratus remaja lelaki berumur 13 hingga 17 tahun di Malaysia adalah pengguna vape.
“Statistik ini amat membimbangkan dan mencetuskan keperluan mendesak untuk tindakan proaktif di peringkat negeri,”tegasnya.
Justeru, kata beliau, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam akan mengadakan mesyuarat lanjutan dalam masa terdekat bagi membincangkan pilihan-pilihan dasar yang wajar dipertimbangkan sebelum cadangan akhir dibentangkan dalam MMKN untuk diputuskan.
“Kerajaan negeri ingin memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mengambil kira impak terhadap kesihatan awam dan generasi akan datang.
“Peranan aktif ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil serta agensi berkaitan di peringkat negeri dan Persekutuan amat dialukan dalam memastikan tindakan yang diambil benar-benar berkesan dan mampan,”katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan keputusan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di Selangor akan dimuktamadkan selewat-lewatnya dalam tempoh dua bulan lagi. – https://amiminerals.org/